SEJARAH RINGKAS SEKOLAH MENENGAH SULTAN IBRAHIM SATU PASIR MAS
TAHUN 1947
Penguasa Pelajaran Jabatan Kelantan,Tuan A.H.Hill telah bersetuju mengadakan satu temuduga khas untuk pengambilan murid-murid sekolah kebangsaan seluruh Pasir Mas untuk memasuki ’Kelas Melayu Khas’ (Special Malay Classes).
6 MEI 1949
Sekolah yang dicadangkan ini dibuka. Sekolah ini menggunakan nama ’Sekolah Inggeris Kerajaan’ (General English School),Pasir Mas. Guru pertamanya ialah Encik Hussein Mohamed. Seramai 40 orang pelajar telah didaftarkan dan 2 orang tenaga pengaja telah bertugas di sekolah ini. Bangunan untuk ’Kelas Melayu Khas’ ini belum lagi di bina. Oleh itu,pelajar-pelajarnya ditempatkan (menumpang) di satu bilik darjah di Sekolah Melayu Pasir Mas. ’General English School’ ini hanya ditadbirkan dan diuruskan oleh Guru Besar tanpa bantuan kerani,budak pejabat,tukang kebun dan tukang sapu.
AKHIR 1949
Kerajaan telah menyerahkan satu bangunan lama kepada pihak sekolah. Bangunan itu asalnya merupakan stor simpanan padi dan beras yang telah dibina dan digunakan oleh tentera jepun. Sekolah ini lebih dikenali sebagai ’Sekolah Rumah Padi’. Ianya terletak di Kubang Bemban kira-kira 2km dari Pusat Bandar Pasir Mas. Ianya juga telah diubahsuai dan dijadikan dengan 5 buah bilik darjah,sebuah bilik guru dan sebuah gelanggang badminton (gelanggang ini merupakan gelanggang badminton dalam bangunan yang pertama di Kelantan telah dijadikan tempat pertandingan utama di negeri ini.) ’ Sekolah Rumah Padi’ telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan iaitu Tengku Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV.
TAHUN 1954
Asrama pelajar mula didirikan,tujuannya ialah untuk memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah.
TAHUN 1956’Sekolah Rumah Padi’ dikira tidak selamat untuk digunakan sebagai sekolah. Bangunan asrama dijadikan sekolah sementara. Penghuni asrama pula terpaksa berpindah ke sebuah rumah biasa berhampiran bandar. Bangunan sekolah dalam proses pembinaan.
AWAL TAHUN 1957
Berpindah ke sekolah baru. Nama Sekolah Inggeris Kerajaan telah ditukar namanya kepada Sekolah Sultan Ibrahim (Sultan Ibrahim School),P.Mas,mengambil sempena nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan – Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV (1944-1960).
TAHUN 1961
Disebabkan pertambahan pelajar yang pesat,iaitu lebih kurang 15000 orang. Sekolah Sultan Ibrahim dibahagikan kepada dua,iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah. Dengan ini,sekolah ini bertukar nama menjadi Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (Sultan Ibrahim Secondary School) Pasir Mas.
TAHUN 1967
Kelas Tingkatan IV (SASTERA) Aliran Melayu mula dibuka tetapi malang sekali apabila kelas ini terpaksa ditutup pada 1969 kerana ketiadaan kemudahan yang sesuai untuk maereka. Oleh itu, pelajar-pelajar yang layak menaiki tingkatan IV dipindahkan ke Sekolah Menengah Ismail Petra,Kota Bharu.
SEKITAR 1968
Sebuah lagi bangunan baru tingkatan satu telah dibina dan disiapkan.
TAHUN 1977
Bagaimanapun, kebanjiran pelajar menyebabkan sekolah ini sekali lagi dipecahkan kepada dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (1) dan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (2).