Kurang membaca punca kemerosotan STEM

WhatsApp_Image_2019-04-28_at_3.05.30_PM_1556436189 (1)
ALOR SETAR: Kurang membaca menjadi antara punca utama kemerosotan jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata keadaan itu sangat membimbangkan kerajaan dan memerlukan kajian menyeluruh untuk menarik minat pelajar terhadap subjek STEM.

“Analisis pihak kami mendapati minat membaca pelajar sangat kurang, sekali gus ilmu yang diperoleh juga nipis sedangkan menerusi membaca, minat terhadap STEM dapat dibentuk bagi memudahkan pelajar memasuki dunia pekerjaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Eksplorasi STEM: Memacu Komuniti Lestari Peringkat Kebangsaan di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung di sini.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Rafee, berkata sekiranya minat membaca gagal ditanam dalam diri setiap pelajar, usaha kerajaan untuk mencapai 60 peratus pelajar mengambil STEM akan sukar dicapai.

Katanya, ia berikutan ada pelajar yang mengambil aliran itu di sekolah menengah saja dan menukar ke aliran biasa apabila menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi, tingkatan enam, asasi dan matrikulasi.

“Kementerian memang mengambil pelbagai langkah untuk menarik minat pelajar, antaranya menaik taraf makmal sains sekolah, namun ia tidak memadai.

“Jadi, sekarang kita perlu pastikan setiap pelajar dari tadika dan sekolah rendah lagi didedahkan dengan STEM menerusi program dan seminar, dari situ pelajar dapat ketengahkan idea bernas, kreativiti dan inovasi mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran STEM merosot setiap tahun.

Pada tahun lalu, katanya, hanya 44 peratus pelajar yang mengambil bidang STEM berbanding 49 peratus pada 2012.