PROGRAM JALAN-JALAN CARI ILMU: PELAJAR SASTERA SMK. PUTRA, JERTEH, TERENGGANU

Pada hari Rabu, 28 September, 2011 yang lepas, seramai 35 orang pelajar tingkatan 5 aliran sastera dari SMK. Putra, Jerteh, Terengganu telah berkunjung ke SMK. Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas, Kelantan. Rombongan pelajar yang datang dengan bas persiaran sewa khas itu diiringi oleh 4 orang guru. Mereka diketuai oleh Tuan Haji Mohd. Noor Bin Awang, guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sekolah tersebut.
Rombongan yang tiba di SMK. SI (1) pada jam 9.00 pagi telah disambut oleh cikgu Drs. Ab.

Aziz Haji Omar, iaitu guru cemerlang sastera di sekolah ini. Mereka terus dibawa ke bilik ICT sekolah dan diberikan ceramah pendedahan pembelajaran berkesan serta format soalan peperiksaan SPM selama lebih kurang satu jam setengah. Para pelajar dan guru tersebut amat berpuas hati dengan maklumat yang disampaikan oleh Drs. Ab. Aziz Haji Omar ( GC Sastera ) SMK. SI (1).

Katanya mereka akan datang sekali lagi jika ada ruang dan peluang. Program Jalan-Jalan Cari Ilmu ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu para pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. Dan yang lebih penting ialah untuk meningkatkan lagi prestasi mata pelajaran ini dalam peperiksaan SPM tahun 2011. Demikian kata-kata aluan balas oleh ketua rombongan Tuan Haji Mohd. Noor Bin Awang.
Majlis ceramah tamat pada jam 10.40 pagi. Selepas minum pagi yang disediakan oleh cikgu Drs. Ab. Aziz Haji Omar secara peribadi, pada jam 11.00, mereka bertolak pula ke SMK. Dato’ Biji Wangsa, Tumpat untuk mendapatkan satu lagi siri ceramah pendedahan pembelajaran berkesan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu daripada guru sastera di SMK. Dato’ Biji Wangsa
( cikgu Mohd. Suki Harun ).
Terima kasih dan selamat jalan kepada rombongan pelajar dan guru dari SMK. Putra, Jerteh, Terengganu kerana sudi hadir ke sekolah kami. Program Jalan-Jalan Cari Ilmu yang tuan/puan laksanakan ini adalah satu program yang amat menarik kerana dapat membantu para pelajar menambahkan pengetahuan, khususnya dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan tentu sekali program seperti ini boleh juga diikuti oleh sekolah-sekolah lain yang berminat.